Kecewa Dengan Proses Tuntutan Insurans Motorsikal, Aku Membuat Keputusan Untuk Baiki Motorsikal Sendiri - Part 1


Ini adalah pengalaman aku kali pertama membuat tuntutan (claim) insurans motorsikal. Ternya ianya berbeza daripada membuat tuntutan insurans kereta yang lebih mudah. Perbezaan yang ketara yang boleh aku kongsikan ialah pihak insurans tidak mempunyai panel bengkel motorsikal. Ianya bergantung pada pihak kedai atau bengkel motorsikal menguruskannya. Ada sesetengah bengkel akan menerima tuntutan mengikut pihak insurans yang tertentu.

Berdasarkan apa yang diberitahu oleh pihak insurans kepada aku, proses tuntutan mengambil masa hanya empat belas (14) hari bekerja. Itu proses untuk mendapatkan kelulusan sahaja tau. Ianya bergantung pada pihak kedai. Antara perkara penting yang diberitahu ketika itu ialah berkenaan tentang "Adjuster" iaitu pihak yang akan menjadi orang tengah antara pihak kedai dan pihak insurans dalam memproses tuntutan insurans motorsikal.

Mengikut pemahaman aku, Adjuster  ini adalah orang yang telah dilantik oleh pihak insurans bagi membuat siasatan dan menilai kerugian/pampasan insurans kepada pihak yang menuntut. Mereka juga dikehendaki membuat laporan kerugian terperinci sesuatu kes.

Kecewa Dengan Pihak Bengkel Yang Membuat Proses Tuntutan Insurans Motorsikal

Berbalik kepada perasaan kecewa, aku bukanlah kecewa berkenaan dengan proses tuntutan insurans itu sendiri. Tetapi kecewa dengan pihak kedai/bengkel yang menguruskan tuntutan insurans itu sendiri yang tidak acuh. Kalau nak diceritakan satu per satu memang panjang, jadi aku simpulkan seperti kronologi dibawah.

Hari ke-2 Selepas Kemalangan - Waktu ini aku masih lagi bergantung kepada tongkat (crutches) untuk berjalan. Dengan bantuan ayah, aku pergi ke salah satu pengedar (dealer) motorsikal dan bertanyakan jika mereka boleh membuat tuntutan insurans motorsikal bagi pihak aku. Mereka bersetuju dengan syarat aku perlu menyerahkan segala dokumen yang diperlukan dan aku menyerahkan segala dokumen yang dipinta pada hari itu juga. Mereka berjanji untuk ambil motorsikal menggunakan lori dalam tempoh 2 hari. Mereka juga memberitahu proses tuntutan akan mengambil masa yang lama iaitu dalam tempoh 1 bulan atau lebih.

Hari Ke-3 Selepas Kemalangan - Hari yang dinantikan untuk pihak kedai mengambil motorsikal tidak muncul. Oleh kerana aku bekerja pada haritu tu, aku cuma membuat panggilan telefon untuk bertanyakan hal tersebut. Agak terkejut bila aku tanya mereka seolah-olah tidak tahu dan tiada tuntutan insurans yang dibuat. Aku meminta untuk check rekod balik. Agak lama juga masa menunggu mereka untuk memeriksa rekod. Selepas itu, mereka berjanji untuk mengambil motorsikal pada hari Sabtu iaitu dalam tempoh 3 hari lagi.

Hari ke-7 Selepas Kemalangan - Pihak kedai masih lagi tidak muncul mengambil motorsikal. Oleh kerana masa tu dah hari Ahad, kedai pun tak buka. Jadi aku mohon pertolongan daripada ayah aku untuk pergi ke kedai motor tersebut untuk mengingatkan mereka balik. Sebelum ayah aku datang ke kedai hari Isnin, aku sudah pun membuat panggilan sekali lagi pada waktu pagi. Aku memberitahu pada ayah aku, jikalau mereka tak mampu nak uruskan tuntutan insurans motorsikal beritahu kami awal-awal. Kami akan hantar pada kedai lain. Tetapi apa yang diberitahu oleh ayah aku, pihak kedai memang berkeras untuk menguruskannya dan mereka meminta tempoh beberapa hari untuk mengambil motor.

Dua Minggu Selepas Penyerahan Dokumen Tuntutan Insurans - Waktu ni aku dah mula panas hati sebab pihak kedai tidak berbuat apa-apa tentang nak ambil motor. Masa ni juga aku dah pun telefon pihak insurans dan bertanyakan tentang status tuntutan dan proses tuntutan. Aku mengambil inisiatif untuk hantar sendiri ke bengkel. Kalau tunggu kedai ambil, entah berapa lama lagi agaknya.

Sebulan Selepas Menyerahkan Dokumen Tuntutan Insurans - 3 minggu sudah pun berlalu tapi tiada sebarang panggilan dibuat oleh pihak kedai berkenaan tentang status claim. Apa yang diberitahu oleh pihak insurans, proses kelulusan memakan masa selama 14 hari waktu bekerja. Aku pun tunggu saja waktu tu. Selepas 5 minggu berlalu, aku membuat panggilan ke pihak insurans bertanyakan status claim dan aku terkejut yang mana tiada tuntutan insurans yang dibuat atas nama dan no pendaftaran motorsikal. Panas hati dah bertambah masa ni.

1 Bulan 2 Minggu Selepas Penyerahan Dokumen Tuntutan Insurans - Elok sabtu aku pun cuti. Aku terus pergi ke kedai motor. Masa aku datang motor dah tak ada. Pihak kedai memberitahu mereka sudah pun menghantar motor ke HQ. Tanpa melengahkan masa aku terus pergi ke HQ mereka. Aku terus tanya pasal status claim dan pihak HQ kedai bagitahu yang mereka dah pun menyerahkan dokumen kepada pihak insurans dan tunggu kelulusan sahaja. Aku terus beritahu benda sebenar yang aku dah pun periksa dengan pihak insurans dan tiada lagi claim ke atas motor yang dibuat. Masa aku terangkan waktu tu, pihak kedai beberapa kali cuba menyampuk. Dialog seperti dibawah ni.

Aku : Betul you dah hantar dokumen?.....

Pihak Kedai: Saya sudah hantar. Ini makan masa sebulan.

Aku : Eh saya sudah call insurans. Mereka kata tiada lagi rekod....(masa ni diorang potong cakap aku yang masa tu nak terangkan pada pihak kedai apa yang diberitahu oleh pihak insurans)

Pihak Kedai : Eh you dengar sini saya mau cakap!!! Ini makan masa sebulan lebih...

Aku : Ye saya tahu, tapi ni dah sebulan lebih tapi insurans sendiri kata tak ada apa-apa rekod.

Pihak Kedai: You dengar la saya mau cakap dulu!!!

Aku : Eh!!! you yang kena dengar cakap saya. Jangan potong saya mau cakap!!! (waktu ni dah panas hati sangat tapi aku control rasa marah dengan cakap nada tegas)

Pihak Kedai : Ok..ok...

Aku : Macam ni. Saya mau tahu...you dah buat ke belum itu punya claim? Kalau belum lagi saya mau ambil motor dan repair sendiri. (Masa ni tauke masuk dalam office bawa dokumen yang aku serahkan kat branch kedai diorang)

Pihak Kedai : You punya belum lagi hantar claim la. Banyak claim mau proses. 

Aku : Kalau ini macam you cakap awal-awal kan senang. Tak ada la saya tunggu lama. Kalau you tak boleh buat bagitahu la. Ini macam la. Saya tak mau claim, saya mau buat sendiri. Boleh tak? Saya bayar sendiri tapi you bagitahu kos berapa.

Pihak Kedai : Ayo, ini tengah buat. Tunggu sikit hari lagi la. 

Aku : Tak boleh la ini macam. Sudah sebulan lebih you tak buat apa-apa.

Pihak Kedai: Kejap saya tengok kalender. Ayo mana ada sebulan lebih. Baru tiga minggu saja.

Aku : Aik...you tengok ini gambar masa saya hantar dokumen dengan motor. Sudah lama tau. Takpela, bawak keluar itu motor sajalah.

Pihak kedai pun bawa aku dalam stor diorang waktu tu. Sadis tengok keadaan motor aku waktu itu. Diletakkan dengan barang-barang motor lain atas tempat duduk dan dihimpit dengan motor lain. 

Pihak Kedai : Susah la mau keluar you punya motor.

Aku : Takpe. Kasi keluar itu motor saya mau repair sendiri.

Pihak Kedai : Sekejap. You kena bayar dulu baru boleh keluar motor.

Aku : Aik, ada cas apa pulak ni?

Pihak Kedai: (Pergi kaunter and ambil kalkulator)....OK you kena bayar RM 80.

Aku : Apa pasal RM80.00. Ini cas apa pulak?

Pihak Kedai: Ini cas simpan motor dalam stor and towing motor.

Aku : Ape pasal towing? Motor ni saya hantar sendiri datang kedai.

Pihak Kedai : Ini towing motor ambil dari branch datang sini.

Aku : Itu you punya kos la. Apa pasal saya kena bayar. Ada saya suruh you ambil motor dari branch ke? Saya tak mau bayar.

Pihak Kedai : You tak mau bayar, itu motor tak boleh keluar.

Masa ni aku memang dah bengang sangat. Melihatkan dompet pun aku tak bawa cash sangat. Aku terpaksa pergi ke ATM yang terdekat. Dari tadi nak repair motor guna duit sendiri dekat kedai tu terus tak jadi. Bengang yang teramat dengan sikap pihak kedai. Aku dengan bengang letak duit RM100 atas meja dengan kuat waktu itu. Aku tahan rasa marah aku dengan berdiam walaupun pihak kedai ada cakap something masa tu.

Aku minta segala dokumen yang aku pernah bagi dekat branch untuk dipulangkan kembali. Waktu itu juga, pihak kedai sekali lagi cuba memujuk aku untuk membuat tuntutan insurans dan menyatakan sekali lagi ianya mengambil masa.

Daripada awal aku beritahu pada pihak kedai yang aku faham tentang proses tuntutan tu mengambil masa tetapi sikap acuh tak acuh mereka dengan tuntutan insurans tu yang membuatkan aku berasa kecewa dan bengang. Kalau mereka beritahu awal-awal yang mereka tak mampu, aku masih lagi boleh bertimbang rasa.

Ini tidak, janji nak ambil motorsikal tapi tak ambil. Lepas tu tipu kata dah hantar pun claim ke pihak insurans walhal tak hantar lagi pun. Dah la tu pergi charge aku dengan towing yang sepatutnya kos itu bukan disandarkan pada aku.

Kesimpulannya disini ialah terdapatnya miscommunication antara kedai dan aku. Yang mana pihak kedai tidak mahu mendengar penjelasan yang ingin aku utarakan. Bukan mahu menuduh mereka melambatkan proses tersebut tetapi mereka sendiri tidak mahu memberikan kerjasama penuh ketika aku ingin mengetahui lebih lanjut apa yang mereka buat.

- akan disambung pada Part 2.

2 Ulasan

Sekiranya ada artikel yang diolah semula, sumber akan dinyatakan. Artikel yang tidak disertakan sumber adalah hak milik The Ariazir. Sekiranya anda ingin mengulang siar artikel The Ariazir, sila hubungi The Ariazir terlebih dahulu.

© Hakcipta terpelihara The Ariazir 2017

  1. Assallam, seeloknya kita ambik dan repair sendiri, beli insuran third party dahla, setakat hidupkan insuran je. Sebab dulu pun saya pernah hantar repair+claim insurans. 2 bulan juga baru siap, tapi motor tu, tak seperti asal. Itu memang kita faham, aligment" dia akan lari. Tapi cara pembaikannya sekadar ala kadar, tak ikhlas. Akhirnya motor tu kena jual dan beli yang baru, sebab "condition" amat mengecewakan. Ada parts motor yang elok telah diambil dan ditukar dengan yang rosak/teruk. Nampak kat sini ada penipuan.

    BalasPadam
  2. Apa yang saya tahu pihak insurans tak berikan tuntutan penuh bergantung pada kerosakan. Kedai hanya akan baiki part yang mereka rasa rosak dan mungkin tak membuat pemeriksaan dengan rapi. Itu bergantung juga pada kedai. Ada kedai akan check betul2 dan akan tanya pada customer untuk membuat tambahan bayaran jika hendak baiki part yg lain menggunakan duit sendiri jika pihak insurans tak tanggung.

    Bagi motor yang masih lagi mempunyai baki pinjaman eloklah ambil insurans berdasarkan market price motor + baki pinjaman. Kalau total lost akibat kemalangan sekurang2nya boleh jadi warranty pada motor. Tapi ada kes yang mana ada pihak insurans tak bersetuju dengan customer utk mengganti kerugian total cost.

    Mungkin motorsikal yang dah habis bayar + usia motorsikal yang lanjut, boleh merendahkan kadar insurans instead of guna third party.

    BalasPadam
Terbaru Lebih lama